WELCOME TO ARMY_RULES BLOG

Tuesday, October 25, 2011

PENYELIDIK UNIMAP HARUMKAN NAMA MALAYSIA DI BIS 2011

Sambutan Kepada Para Penyelidik UniMAP, Bertempat Di Lapangan Terbang Pulau Pinang

KANGAR, 23 Okt (Bernama) -- Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengharumkan nama Malaysia apabila menerima Anugerah Khas Berlian iaitu anugerah tertinggi pada Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi British (BIS) 2011 di London yang berakhir semalam.

UniMAP memenangi anugerah itu melalui produk penghasilan simen dan konkrit yang mesra alam iaitu "A Novel Environmental Friendly Cement and Concrete" yang dikemukakan oleh penyelidik dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.


Turut menjayakan penyelidikan produk itu yang turut menerima anugerah Emas pameran itu ialah Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin sebagai penyelidik bersama untuk meletakkan universiti itu mengungguli kedudukan pingat bagi penyertaan dari Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.


Mohd Mustafa bersyukur dengan pencapaian tertinggi yang diraihnya selepas kejayaan meraih pingat emas pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2011) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bulan lalu.


"Kejayaan yang diraih pada pameran kali ini amat bermakna memandangkan ia merupakan sebahagian daripada penyelidikan yang saya jalankan untuk pengajian saya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UniMAP di sini hari ini.


Mohd Mustafa berkata, produk itu merupakan satu sistem penghasilan simen atau konkrit tanpa simen yang dihasilkan melalui campuran abu terbang atau tanah liat tertentu yang kemudiannya dicampurkan dengan sebatian kimia dan bersifat mesra alam.


Sistem penghasilan konkrit tanpa simen atau sistem geopolimer ini mempunyai pelbagai aplikasi yang agak luas dan mempunyai potensi besar untuk menyokong industri simen dan konkrit binaan di masa akan datang.


BIS 2011 yang berlangsung di Old Spitalfields Market, London mulai 19 hingga 22 Okt disertai oleh 15 negara termasuk Russia, Arab Saudi, Taiwan, Romania, Sepanyol, Australia, Ireland selain negara tuan rumah United Kingdom.


Pertandingan ini menawarkan Anugerah Khas Berlian iaitu anugerah tertinggi diikuti Anugerah Khas Platinum dan Anugerah Khas Pingat Emas Berganda.


Selain itu, setiap produk yang menyertai pameran dan pertandingan ini juga akan dinilai untuk menentukan kedudukan pingat emas, perak atau gangsa bagi pameran.


Sementara itu, Delegasi UniMAP yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr Ismail Daut mengemukakan lima produk penyelidikan yang kesemuanya memberi sumbangan pingat.


Selain Mohd Mustafa yang meraih Anugerah Khas Berlian, Prof Dr Ismail Daut turut membanggakan Malaysia menerusi Anugerah Khas Platinum melalui produknya "Photovoltaic Powered Inverter without Transformer."


Turut meraih Anugerah Khas ialah, Dekan Pusat Pengurusan Penyelidkan dan Inovasi, Prof Dr Syed Alwee Aljunid dengan produk penyelidikannya "OCDMA Systems Using Random Diagonal Code" yang mendapat Anugerah Khas Emas Berganda.


Dua lagi produk memenangi pingat perak iaitu "Agriculture Fertigation Robot" melalui penyelidik Jefri Efendi Mohd Salih dan "Natural Adsorbent" ciptaan penyelidik muda UniMAP iaitu Nurfaiza Mohamud.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

THE WAY OF MY LIFE